Author: Jamilah Aini Mohd Rafiei
•12:25 AM
Ketika mula berblogging dulu saya menganggap blog seumpama sebuah diari, catatan peribadi. Tapi tak juga sebab tdk semua cerita kisah boleh kongsi bersama. Apa part2 tertentu yg perlu kita rahsiakan. Ketika mengedit satu bahan, hati tersentuh dgn artikel ini. Terasa seperti ia ditujukan kpd kita. Teringat pertanyaan Ahnaf pd satu malam, "Umi, Ust Solehin kata, semasa peristiwa Isra' Mikraj Nabi lihat ramai orang perempuan dlm neraka, betul ke Mi, kenapa Mi?".
Jawab saya, "Betul, kerana orang perempuan byk buat dosa....."
Jawapan itu membungkam jiwa saya. Begitu payah menepis anasir2 yg berlegar di sekeliling kita. Spt sabda Rasulullah s.a.w yg bermaksud: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia berkata yang baik atau hendaklah ia diam."
Artikel di bwh ini adalah sbg peringatan untuk diri kita...(Akan tersiar dlm MUSLIMAH bil 216)
Setiap muslim wajib memelihara lidahnya dari menuturkan perbualan yang tidak berfaedah, buruk dan kotor, sembang kosong, mengumpat-keji dan mengadu-domba. Lidah anugerah Allah kepada setiap manusia bukan untuk digunakan sewenang-wenangnya tanpa sebab. Memang benar lidah itu tidak bertulang dan sentiasa meluncur laju ujaran yang dikeluarkannya. Ingatlah akan pesanan Rasulullah s.a.w yang bermaksud,

"Dan janganlah kamu berbicara dengan satu perbicaraan yang akan menyebabkan kamu terpaksa meminta maaf esoknya."

Imam Syafiei pula menyatakan , "Jagalah lidahmu agar ia tidak menyengatmu, kerana lidah tidak ubah seperti ular berbisa. Ramai orang binasa akibat lidahnya, padahal dahulu mereka dihormati kawan-kawannya".
Islam telah memberi garis panduan yang lengkap dan sempurna tentang perilaku penggunaan lidah agar umatnya tidak terpesong daripada landasan Islam.
Justeru, marilah kita menjadikan akal fikiran yang berpaksikan tuntutan agama sebagai pengatur lidah dalam masa kita berkomunikasi dengan orang lain agar ia menyenangkan dan membuahkan keharmonian. Lidah yang tutur katanya baik dan menyenangkan itu lambang kemoralan hati dan jiwa pemiliknya.

Lidah walaupun merupakan komponen paling kecil berbanding anggota lain yang terdapat pada diri seseorang manusia, tetapi fungsinya amat besar. Baik atau buruk peribadi seseorang itu boleh tergambar melalui apa yang diluahkan melalui lidahnya. Jika tutur katanya penuh sopan dan lembut bicara, maka orang lain akan menganggapnya sebagai seorang yang berperibadi luhur dan berwibawa tinggi. Pengaruhnya cepat menular dan sentiasa disenangi sesiapa sahaja. Manusia yang baik tutur katanya mempunyai ramai teman dan mereka sentiasa hidup dalam suasana harmoni dan aman tenteram.

Buangkan naluri hasad dengki dan berburuk sangka. Ingatlah pada pesanan Saidina Ali Abi Talib yang bermaksud, "Orang yang paling lemah ialah orang tidak berhasil mendapatkan saudara (teman). Orang yang paling lemah lagi ialah orang yang kehilangan teman- teman."

Jadi, tidak mustahil seandainya seseorang pemimpin bermulut lancang mengeluarkan tutur kata yang buruk dan sentiasa mempamerkan tabiat buruk, maka mereka akan kehilangan ramai teman dan menambahkan jumlah musuh.
Rasulullah s.a.w juga pernah menjelaskan kesan lidah terhadap peribadi manusia dan tingkah laku seseorang. Menurut baginda, "Lidah yang beristiqamah akan menghasilkan jasad yang istiqamah juga. Manakala lidah yang menyeleweng akan menyelewengkan jasad keseluruhannya".
Dalam satu hadis lain baginda bersabda,
" Setiap pagi apabila anak Adam bangun dari tidur, seluruh anggotanya akan memperingatkan lisan. Anggota tersebut berkata: Takutlah akan Allah demi kami sesungguhnya banyak bergantung kepada kamu, jika engkau lurus, kami pun lurus, jika engkau bengkok, bengkoklah kami"
Sesungguhnya mengucapkan ucapan atau kata yang buruk lagi kotor dengan pelbagai bentuk adalah amat mudah dilakukan oleh lidah manusia, jika di dalam jiwa manusia itu tiada ketakwaan dan iman yang nipis. Keburukan dalam berkata-kata meninggalkan banyak kesan yang amat buruk dalam hubungan kemasyarakatan. Lidah yang kotor dan mengeluarkan kata-kata buruk menggambarkan kekosongan jiwa dan ketandusan panduan agama yang tulen. Orang yang tahu menilai masa dalam kehidupan sehariannya, malah sentiasa beranggapan masa itu adalah modal utama dalam perjalanan hidupnya di dunia ini akan menahan lidahnya daripada bercakap kosong, buruk atau sesuatu yang tidak bermanfaat. Hanya orang yang mempunyai hati yang tidak sihat sahaja akan menggunakan lidahnya kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan dosa kerana penyakit keracunan hati yang dialaminya mendorongnya untuk berbuat demikian.
Manusia yang meninggalkan zikrullah dan lupa untuk bersyukur kepada Allah akan cepat terjerumus untuk menuturkan kata-kata yang buruk dan mendatangkan dosa. Orang-orang seperti itu boleh diumpamakan sebagai manusia yang dianugerahkan berlian yang berkilau indah, tetapi berlian tersebut semakin malap kilauannya lantaran debu-debu dosa yang dilakukan. Tabiat atau budaya berbual kosong, memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata kesat seolah-olah menjadi budaya hidup di kalangan masyarakat. Masuk sahaja ke dalam kedai kopi maka terdengarlah kata bualan caci keji dan umpatan yang tidak pernah ketandusan. Inilah senario semasa dalam sesetengah golongan yang lupa bahawa apa yang diucapkan mendatangkan dosa kepada mereka.
Nabi s.a.w mengatakan bahawa, "Di antara keelokan Islam seseorang itu ialah ia meninggalkan sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan dirinya".

Lukmanul Hakim pernah ditanya, "Setakat manakah tahap hikmah anda". Beliau menjawab, "Ke peringkat aku tidak meminta lagi sesuatu yang sudah mencukupkan keperluan aku dan aku tidak akan bercakap sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan diriku".

Demikianlah sikap yang sepatutnya manusia amalkan dalam kehidupan di dunia ini. Sebagai Islam, kita hendaklah sentiasa ingat akan pesan Nabi s.a.w sebagai panduan kita menggunakan lidah kurniaan Allah ini.
Antaranya Baginda berpesan ,"Orang yang dimurkai di sisiku dan paling jauh dariku pada hari Kiamat kelak ialah orang yang paling buruk akhlaknya dari kalangan anda sekalian, yang banyak bercakap, banyak berbicara dan banyak berbelit-belit dalam percakapannya".
Sesungguhnya lidah seseorang boleh menjadi senjata syaitan jika tidak diawasi dan digunakan sebaik mungkin mengikut piawaian garis panduan yang ditetapkan Islam. Lidah yang kotor dan buruk tuturkatanya melambangkan kotor dan buruknya sanubari hatinya. Bahaya yang mengancam hilangnya pahala ibadah dan merosakkannya sebahagian besar adalah disebabkan oleh lidah. Seorang penyair Arab ada menyatakan,

"Jika seorang warak sibuk mencari-cari cacat kekurangan orang yang bukan warak maka sama saja dengan penderita (penghidap) sakit yang sibuk mencari-cari penyakit semua orang yang tidak sakit".

Kesimpulannya sebagai manusia beriman dan bertakwa, lidah semesti dimanfaatkan untuk diri sendiri dan orang lain. Tunjukkan tanda syukur kepada Allah SWT dengan mengeluarkan tutur kata dan bicara yang jujur, bijaksana dan berhemah agar diri kita mendapat keredhaan-Nya. Dengan memelihara lidah dengan hanya berkata-kata yang hak dan berlaku jujur akan menjana situasi hidup berkomuniti yang kondusif lagi dirahmati Allah. Tidaklah lagi timbul gejala negatif seperti fitnah, berkelahi dan berburuk sangka dalam sesebuah masyarakat.
Satu fenomena yg buruk di kalangan pengamal media, menulis / melapor sesuatu yg belum tentu benar faktanya. Kini ia berjangkit pula di kalangan blogger (politik). Mjd trend pula individu2 tdk bertanggungjawab ini meghasilkan blog2 menghentam individu di samping komen2 yg amat tdk bertanggungjawab. Ingat, jari anda akan ditanya nanti!!
This entry was posted on 12:25 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

1 comments:

On June 30, 2009 at 4:30 AM , ain said...

betullah...blog sekrg ni dijdkn medan bertikam lidah!! fitnah dan pembohongan berleluasa!!